BILA AKU BERFIKIR.. malam tidak akan terus pekat. Akhirnya fajar akan menyingsing jua. Ujian tidak akan terus melarat. Ia akan bernoktah juga.
Friday, December 24, 2010
nasihat buat diriku.
1) Ada orang kata, andai kita ingin menjadi insan yang hebat maka janganlah kita malu-malu untuk menasihatkan juga membetulkan diri sendiri.
2) Sedar tak sedar, kita lebih mudah menasihatkan orang lain daripada menasihatkan diri sendiri. Mudah juga kita merasakan orang lain tidak betul, tidak bagus, tidak menarik, tidak rajin, tidak teliti dan 1001 TIDAK yang lain. Umpamanya kita inilah saja yang betul segalanya, tiada cacat juga cela.
3) Sebaiknya kita cuba bertanya diri sendiri, "Apalah yang orang lain kata tentang aku, apalah benda-benda tak bagus yang orang lain sebut tentang aku?"
4) Tidak semuanya yang orang 'kata' tentang kita adalah benar tetapi haruslah kita sedar juga bahawa tidak semuanya juga tidak benar, kebiasaannya yang buruk lebih mudah menjadi bahan sebutan orang berbanding dengan yang baik.
5) Kadang-kadang mudah sungguh hati busuk saya (anda bagaimana?) terlintas memandang rendah kepada percakapan, tindakan, gaya mahupun hasil kerja orang lain.
6) Kadang-kadang mudah sungguh mata saya (anda bagaimana?) memandang sinis kepada sesuatu yang tidak cukup berharga, kurang kualiti, rendah taraf populariti mahupun yang tidak sepadan dengan keinginan penglihatan sendiri.
7) Minda saya (anda bagaimana?) juga amat senang memikirkan yang buruk-buruk tentang orang lain. Rasa percaya sukar diberi, rasa hormat payah sungguh untuk menjelma, was-was terhadap keupayaan insan itu dan terpengaruh dengan kata-kata buruk pihak ketiga terhadapnya.
8) Jiwa saya (anda bagaimana?) juga mudah memberontak apabila apa yang diingini, diimpikan dan diharapkan tidak sekata dengan apa yang diperoleh. Kalau boleh saya mahu dunia mengikut rentak tarian saya bukannya saya yang perlu sedikit memahami tentang dunia dan resamnya.
9) Jarang sungguh saya (anda bagaimana?) berpuas hati dengan apa yang telah dimiliki dan sedia ada di dalam genggaman tangan. Rasa tamak, mahu dan terus mahu serta sentiasa mahukan 'tambahan' amat mudah menguasai diri.
10) Saya terus dan terus (anda bagaimana?) mahu mengingatkan diri ini dan mengajarnya supaya sentiasa berfikiran positif, memandang mulia kepada setiap insan, memikirkan yang baik-baik tentang orang lain, memahami bahawa setiap manusia bukanlah lengkap segalanya, sentiasalah bersyukur dengan apa yang dimiliki dan yang terpenting janganlah lupa kepada TUHAN kerana DIAlah yang menentukan baik buruknya perjalanan hidup ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment