Saturday, June 11, 2011

mendidik hati dgn mengingati ALLAH

Jiwa. Kalbu atau hati. Sama.

Kalbu, jiwa atau hati merupakan suatu unsur atau juzuk yang sudah tersedia dalam diri setiap manusia, yang dimana kedudukan dan penjagaan terhadapnya begitu penting sekali bagi sekalian manusia. Jika baik ia, maka baiklah seluruh anggota seperti yang Nabi SAW pernah sabdakan. Jika rosak ia, rosaklah anggota badan dan kehidupan.

Jika jiwa sudah rosak, dapat lagikah dengan tenang ingat pada ALLAh Ta’ala?

Hidup ini, tidak boleh tidak ingat kepada Tuan Punya Dunia. Dari ingatan itulah datangnya ingatan dan ketenangan yang dianugerahkan oleh-Nya. Betul? Dan tidak dinafikan, adakalanya ada langkah yang kita lakukan, masa itu langsung tidak diniatkan kepada ALLAh Ta’ala akibat kelalaian menjaga niat dan jiwa.

Melangkah Tanpa Jiwa Yang Baik

Hati atau jiwa mempunyai peranan yang penting, ia menentukan baik atau rosaknya diri seseorang itu. Hakikatnya, hati itu sangat sensitif. Sangat mudah berubah-ubah, mudah bergoncang, mudah turun dan naik, mudah terluka, mudah kena penyakit, mudah rosak dan mudah pula baiknya.

Pendek kata, hati senang berbolak-balik!

Ada hari, kita hanya akan ingat kepada ALLAh Ta’ala hanya pada waktu kita berdiri solat (mohon dijauhkan ya Rahman) dek kerana tumpuan kita dicuri oleh mainan dunia. Akibatnya, badan di masjid, dada menghadap kiblat, jasad melakukan gerakan solat, tapi hati pula melencong ke tempat lain atau dalam erti kata lain, tertinggal di dunia.

Solat yang menjadi salah satu penenang jiwa kerana menghadap Tuan Punya Dunia, akhirnya tidak tenang. Malah bertambah resah pula. MashaAllah.

“Maka celakalah orang yang solat. Iaitu orang-orang yang lalai terhadap solatnya.” – al Maa’un : 4-5

Na’udzubillahimindzalik.

Kadang-kadang, dalam membuat sesuatu kebaikan pun, apabila perbuatan itu tidak kerana ALLAh Ta’ala, maka rasa riyak pula mengambil peranan dan menguasai jiwa. Akibatnya hanya membuahkan dosa dan murka ALLAh. Amal kebaikan ditelan oleh dosa!

Paksikan Semuanya Kerana ALLAh

Bagaimana mendidik jiwa untuk sentiasa mengingati-Nya? Nampak macam susah aja?

Memanglah.

Sama macam hal belajar juga. Dalam menelaah pelajaran, perlu mujahadah. Paksa diri sehingga betul-betul mampu untuk menghadam apa yang dipelajari dan dipraktikkan dalam kehidupan seterusnya boleh disebarkan. Satu hal lagi, mengikhlaskan diri belajar semata-mata kerana ALLAh Ta’ala juga memerlukan mujahadah. Susah. Terasa sangat susah. Kadang-kadang perasaan mahu mendidik untuk ikhlas kerana ALLAh dengan keterpaksaan belajar itu saling tarik-menarik antara satu sama lain.

Pada masa itulah kita harus memperhalusi keadaan itu.
Dengan selalu memperbtulkan niat, dan berzikir. Ingat pada-Nya.

“Dan ingatlah Tuhanmu dalam hatimu dengan rendah hati dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, pada waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lengah.” – al A’araf : 205

Lidah dan jiwa yang selalu dibasahi dengan zikir inshaAllah akan memancarkan aura kepada seluruh anggota untuk melakukan kebaikan. Dan zikir itu akan menjadi pengingat/peringatan kepada empunya badan apabila terasa melakukan sesuatu yang tidak terletak pada tempatnya. Semua itu dengan izin ALLAh Ta’ala!

Menyedari hakikat diri yang hanya merupakan seorang hamba kepada 1 Rabb, ALLAh ‘Azza wa Jalla. Seharusnya menimbulkan rasa kekerdilan yang amat sehingga pada satu saat, terasa mahu menyorokkan wajah, malu berhadapan dengan ALLAh Ta’ala akibat dosa-dosa yang pernah dilakukan.

MashaAllah. Tabarakallah~
Peringatan buat diri saya terutamanya.

Semoga ALLAh merahmati.

cinta ilahi.

No comments:

Post a Comment