BILA AKU BERFIKIR.. malam tidak akan terus pekat. Akhirnya fajar akan menyingsing jua. Ujian tidak akan terus melarat. Ia akan bernoktah juga.
Wednesday, May 30, 2012
bagaikan melawan arus dunia.
bismillahirrahmannirrahim.
Melawan arus dunia. Ada berani?
Ketika ada manusia yang mempertahankan dan menyampaikan ajaran Islam, masyarakat pula tegar mengikut gaya hidup barat. Tidak cukup mengikut, masyarakat jadi bangga. Sebut sahaja orang putih, ada manusia yang akan teruja. Sungguh, pemikiran yang masih dijajah. Tetapi apabila disebut orang Islam atau orang Arab, ekpresi pula menonjolkan kesinisan. Yang terbayang, orang-orang kolot cuma!
Ketika anda sendiri cuba beramal dengan ajaran Islam, ada waktu, anda diketepikan. Anda diejek, dihina dan dipulaukan. Ketika anda berbicara mengenai sesuatu lalu menyentuh sedikit mengenai Al-Quran dan Hadis, ada manusia yang membuang muka dan memekakkan telinga lalu meninggalkan anda tanpa menoleh lagi!
Sungguh tidak mudah melawan arus.
Usia Remaja Untuk Bersuka Ria
Ketika masih remaja inilah ALLAh berikan kekuatan kudrat dan kesegaran akal fikiran. Masa inilah untuk bersuka-ria. Masa inilah untuk melihat segalanya. Dan masa inilah untuk merasai semua. Saya pernah mendengar seseorang berkata,
“Masa remaja nilah kita kena rasa semua. Pasal agama jangan fikir dulu, yang penting kita jangan keluar Islam sudah!”
Saya percaya dan saya buat bahawa masa remaja inilah untuk bersuka-ria. Mencuba perkara yang ingin saya cuba dan menjelajah ke mana yang mampu dijelajah. Tapi untuk tidak beramal dengan agama, saya langsung tidak setuju.
Manusia yang hidup tanpa agama, maka tiada erti!
Bahagian Dunia Yang Menyentuh Jiwa Remaja
Dulu, saya akui, adakalanya jiwa saya sedikit tercuit melihat telatah remaja yang kelihatan hidup mereka langsung tiada masalah. Sentiasa ketawa. Sentiasa bergembira bersama rakan sebaya. MashaAllah. Saya rasa hidup berada di dunia mereka mesti rasa lapang! Namun seiring dengan perjalan waktu, saya mendapat tahu sesuatu.
Rupanya ramai diantara mereka yang jiwanya sangat-sangat sesak!
Berbual-bual mendekati mereka, dengan cara itu saya cuba bersoal jawab soal kehidupan dengan mereka. Ada yang jiwa sangat kacau. Ada yang bermasalah dengan keluarga. Ada yang tidak tahu apa sebenarnya tujuan hidupnya. Malah ada yang mengaku hidupnya seolah-olah untuk orang lain atau dalam erti kata lain, bertuhankan manusia! Kegembiraan mereka itu, hanyalah rekaan sebenarnya. Rekaan!
Mendengar setiap kisah mereka, menggamit sedih dihati.
Betullah, jauh dari agama bermakna menjadi mayat hidup!
Sama Tapi Tidak Serupa
Dalam dunia remaja, saya kira terbahagi kepada dua :
(1) Remaja yang merupakan anak-anak akhirat. Mereka ini berusaha untuk dekat kepada agama meskipun ada diantaranya seolah-olah diketepikan dunia. Mereka berusaha mencuba mengamalkan apa yang agama ajar meskipun kadang kala mesti berhadapan dengan sedikit ancaman. Mereka cuba mengamalkan sunnah meskipun dihina dan diejek sebagai orang yang jumud, ketinggalan zaman.
Mereka tegar mahu berada dalam lingkaran agama kerana disitulah ketenangan mereka. Mereka melawan nafsu dunia angkara syaitan yang kadang kala mengusik jiwa dan mengajak kepada keburukan. Adakalanya mereka sampai tertangis-tangis kerana akal berdasarkan keimanan berlawan dengan ajakan syaitan yang direjam!
Mereka belajar mengikhlaskan diri mengasihi manusia tanpa ikatan darah.; memaniskan wajah dan melatih meramahkan diri sendiri meskipun kadang kala dipandang sinis. Menghulurkan salam persaudaraan meskipun huluran itu tidak disambut. Kerana mereka tahu, ikatan yang kuat berdasarkan akidah jauh lebih penting dan mahal berbanding ikatan kekeluargaan yang tidak punya akidah yang sama.
Mereka tenang bersama alQuran dan asSunnah walaupun sering kali dituduh sebagai orang yang menunjuk-nunjuk, bajet alim, bajet baik, bajet malaikat.
Apabila dilayan dengan kesakitan, mereka memujuk diri dan membalas kejahatan orang dengan senyuman dan kesabaran. Melihat itu, kadang kala penduduk dunia menjadi semakin benci dan semakin menyakiti!
Cuba menyampaikan sesuatu yang mereka tahu dari agama, mahu berkongsi ilmu dengan orang lain kerana tidak mahu tahu seorang-seorang agar saudara seagama juga mendapat faedahnya. Harapan semoga sudi berkongsi juga menegur seandainya ada salah, tetapi sebaliknya, tuduhan angkuh dan berlagak digelarkan kepada mereka.
Mereka cuba tegar meskipun dunia memulaukan mereka.
Mereka, anak-anak akhirat!
(2) Remaja yang merupakan mangsa tipu daya dunia. Mereka ini mengikut arus perubahan dan peredaran zaman. Jika berubah kepada A, maka mereka menjadi A. Jika berubah kepada B sehinggalah Z, maka mereka menurut tanpa banyak bicara. Kerana mereka rasa, dunia ada bersama mereka.
Tiada kegusaran dan kesepian!
Mereka yang membina panduan hidup berdasarkan nafsu dan akal yang tidak dipandu dengan keimanan. Seterusnya menjadi tuhan kepada diri sendiri kerana bagi mereka itu adalah kebebasan.
Mereka yang menjauhkan diri dari agama kerana menganggap agama itu hanyalah bagi orang-orang yang ketinggalan zaman dan orang yang mundur ke belakang. Tanpa mereka sedari, bahawa mereka sebenarnya adalah orang yang kembali kepada zaman beratus-ratus tahun yang terdahulu dimana ALLAh Ta’ala sendiri mencatat peristiwa yang merakamkan kebinasaan di dalam alQuran.
Yang tidak getar hatinya apabila diberi peringatan kerana menganggap peringatan demi peringatan itu hanyalah omong kosong dan membosankan serta boleh membuat telinga berdarah! Mereka yang menganggap alunan suci alQuran itu hanyalah sebuah alunan bagi orang-orang yang membosankan. Tidak seperti mereka yang lebih suka mendengar alunan hasil ciptaan manusia yang kadang kala tanpa sedar memuja syaitan. Mereka lebih bahagia melalak daripada berzikir dengan tenang.
Mereka, anak-anak dunia.
Yang tidak mahu berada dalam lingkaran agama Islam!
Sungguh besar perbezaan yang ada.
Melawan Arus Atau Hanyut Bersama Arus
Sejujurnya, anda yang merasakan anda bahagia bersama Ilahi, cuma ada dua pilihan;
1 – Terus menentang arus dunia dan mengubah arusnya.
2 – Kalah dalam penentangan. Sebaliknya, mengikut arus yang deras sehingga lemas.
Anda mahu yang mana?
Jujur saya katakan, anak-anak dunia memerlukan anda. Ya, mereka memerlukan anda yang merupakan anak-anak akhirat untuk menghulurkan tangan kepada mereka dalam arus deras yang ada! Sebetulnya, ada dikalangan mereka yang tidak tahu pun mereka sebenarnya sedang lemas dan memerlukan pertolongan.
Mengasihi mereka, ada cinta ALLAh Ta’ala sedang bersama!
“Seseorang itu tidak beriman sehinggalah dia mengasihi terhadap saudaranya seperti mana dia kasih terhadap dirinya sendiri.” – HR. Bukhari dan Muslim
Dunia ini, hanyalah tempat persinggahan dan seperti sebuah permainan.
“Ketahuilah, bahwa sesungguh nya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara karnu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhrat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan belaka.” – Surah Al-Hadîd : 20
Pun begitu, jangan sesekali menjadi penghukum kepada manusia lain!
Tugas manusia hanyalah pengamal dan penyampai. Titik.
Sekiranya manusia lain masih mahu menolak, maka bertawakallah kepada ALLAh Ta’ala.
Pssst! Kita semua bersaudara, kan?
Semoga bertemu dalam doa yang menginginkan kesejahteraan bagi saudaranya yang lain. ALLAh jualah yang berhak dan berkuasa atas tiap-tiap sesuatu kejadiannya! Wallahu’alam.
Semoga ALLAh merahmati.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment